Monday, April 14, 2014

Nasihat Dr Zubaidi Hj Ahmad : BERAT BADAN DAN KESUBURAN


Sumber :  Dr. Zubaidi Hj. Ahmad

“Salam doctor. Saya mempunyai berat badan yang berlebihan. Ketinggian saya hanya 155cm, tetapi berat saya 80kg. Ramai yang mengatakan bahawa saya akan mengalami masalah kesuburan dan menjejaskan peluang saya untuk hamil. Mohon pencerahan”. 







Kebanyakan wanita Melayu sekarang mempunyai berat badan berlebihan. Ini kerana faktor pemakanan yang tidak seimbang dan tiada senaman di kalangan wanita sekarang yang bekerja.

Ramai wanita yang mempunyai masalah berat yang berlebihan tidak mengalami masalah kesuburan. Mereka boleh hamil tanpa masalah walaupun ada di kalangan mereka yang terpaksa menunggu lebih lama, Antara enam bulan hingga setahun. Namun akhirnya penantian mereka membuahkan kegembiraan.

Walau bagaimana pun jika puan mempunyai indeks jisim badan (BMI) yang melebihi 30, mungkin ia akan menjejaskan kesuburan puan.

Lebih mudah untuk puan hamil jika puan mempunyai BMI yang normal iaitu antara 18.5 dan 25.

Wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan selalunyaa akan mengalami masalah ketidakseimbangan hormone. Apabila hormone tidak seimbang, menyebabkan wanita itu tidak berovulasi, di mana telur ovum tidak dikeluarkan dari kelenjar ovari.


Cara terbaik untuk meningkatkan peluang untuk hamil ialah dengan menurunkan berat badan secara sihat iaitu dengan cara mengambil pemakanan yang sihat dan dengan cara bersenam.

Selain itu, orang yang mempunyai berat badan yang berlebihan mungkin mempunyai penyakit Polycystic Ovary Syndrome (PCOS). Tanda-tandanya ialah seorag wanita itu mengalami kitaran haid yang tidak menentu atau jarang mengalami haids, mempunyai bulu badan yang berlebihan, dan jerawat.

Namun ada wanita yang mengalami PCOS tidak mempunyai tanda-tanda yang saya sebutkan.

Untuk pengesahan saya mencadangkan puan berjumpa doctor bagi memastikan puan tidak mempunyai penyakit PCOS.

Jika puan mengalami berat badan berlebihan dan mengalami PCOS, saya mencadangkan puan memberikan focus untuk mengurangkan berat badan.

Jika tidak puan harus menjalani beberapa prosedur yang membantu kehamilan puan seperti IUI atau IVF.

Selain itu wanita yang mempunyai berat badan yang normal akan mudah mengekalkan kehamilan setelah menjalani prosedur IUI atau IVF, berbanding dengan wanita yang memepunyai berat badan yang berlebihan. Mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan selalunya mudah mengalami keguguran ketika kehamilan.

Wallahu a’lam.